EA Berkeras Yang Tiada Langsung ‘Scripting’ Dalam Game FIFA

Bagi yang sudah sekian lama bermain siri game FIFA keluaran EA Sports, pastinya sudah cukup mengenali dengan istilah ‘scripting’.

Secara ringkasnya, scripting ini adalah bagaimana satu-satu perlawanan dalam FIFA yang sudah ditentukan pemenangnya lebih awal. Bermakna, sekiranya satu pemain/pasukan ini sudah ‘ditakdirkan’ untuk kalah, maka apa jua cubaan untuk menjaringkan gol akan menemui jalan buntu seperti tersasar, terkena tiang atau diselamatkan penjaga gol walaupun sepatutnya cubaan itu masuk ke dalam gawang.

Sebaliknya, sekiranya satu-satu pemain/pasukan itu telah ‘terpilih’ untuk menang, maka ia menjadi terlalu mudah untuk menjaringkan gol.

Terbaharu, ada seorang peminat yang secara sarkastiknya bertanyakan sama ada EA Sports telah membuang scripting apabila akaun Twitter rasmi FIFA Direct Communication berkongsikan tentang ciri-ciri baharu FIFA 21.

“Adakah kalian sudah buang scripting, handicap dan DDA [dynamic difficulty adjustment] daripada game [FIFA 21]? Jika tidak, ia akan hanya sia-sia 100%, sekali lagi..” kata seorang pengguna Twitter.

Akaun Twitter rasmi FIFA Direct Communication itu telah memetik tweet dan menafikan dakwaan itu dalam satu thread yang panjang. Mereka menafikan sekerasnya bahawa terdapat ‘scripting’, ‘handicap’, ‘momentum’, dan/atau ‘DDA’ dalam siri game FIFA.

Mereka menegaskan yang mereka membangunkan game simulasi bola sepak dengan menggunakan pelbagai konsep bola sepak, termasuklah sistem ralat dan sistem fizik yang membawakan variasi dan keaslian dalam game. Setiap tahun mereka dikatakan akan mengurangkan situasi dalam game yang terasa rawak dan di luar kawalan pemain.

Kata mereka lagi, dari perspektif rekaan gameplay, tiada alasan untuk mengimplikasikan sistem-sistem untuk mempengaruhi hasil game tersebut kerana semua yang disebutkan di atas akan mencipta satu pengalaman bola sepak yang sebenar kepada para pemain.

Pastinya, jawapan akaun FIFA Direct Communication ini tidak disenangi oleh sebilangan besar peminat FIFA. Bahagian komen dipenuhi dengan jawapan balas yang membidas kenyataan EA Sports ini.

Apa pula pandangan korang? Selalu terkena dengan scripting ini dalam FIFA?