Battle Royale ala Dota

Bercakap mengenai Battle Royale, kita sudah tahu genre permainan video ini sangat popular dan menjadi trend terkini. Lihat saja populariti diperoleh Fortnite dan Player Unknown‘s Battlegrounds (PUBG) sehingga mencatatkan keuntungan jutaan ringgit.

Apa itu Battle Royale? Secara ringkasnya, pemain dikumpulkan dalam satu kawasan luas seperti pulau bersama 99 pemain lain untuk bertarung menjadi yang terakhir hidup di medan pertarungan itu. Sepanjang kembara, pemain akan menemui senjata dan kelengkapan selain berupaya memandu kenderaan di laut dan darat.

Battle Royale biasa dikaitkan dengan penggunaan elemen penembakan tunggal (FPS) tapi kali ini, satu kelainan cuba ditampilkan. Survival Heroes adalah satu permainan mudah alih yang dioptimumkan untuk peranti pintar dan memperkenalkan gabungan dua elemen iaitu Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) dan Battle Royale.

Gunakan lebih 20 jenis senjata

Apa bezanya berbanding permainan lain? Sudah tentu tarikannya ialah pada senjata yang ditawarkan. Disebabkan ia mempunyai elemen MOBA, kelainannya terletak pada lebih 20 jenis senjata yang dijumpai di dalam kotak harta karun ataupun di dalam balang.

Setiap senjata ini menawarkan hingga tiga kuasa yang berlainan jadi pemain boleh bereksperimentasi dengan kuasa berbeza untuk mengelirukan musuh. Jika anda bermain mod duo, pastinya lebih mudah atur strategi dan salah seorang daripada anda berdua boleh memilih menjadi ‚tank‘ dan seorang lagi sebagai ‚damage dealer‘.

Sebagai contoh, senjata yang berbentuk tongkat membekalkan kuasa untuk menukarkan musuh kepada haiwan dan mewujudkan taufan.

Kuasa anda akan bertambah kuat jika karakter mempunyai ‚level‘ lebih tinggi. Jadi sepanjang kembara mencari senjata dan kelengkapan, anda boleh membunuh makhluk buas berkeliaran untuk menaikkan ‚level‘ dengan lebih cepat.

64 orang di satu pulau

Anda akan bermula dengan pertarungan antara 64 orang pemain di satu pulau yang akan mengecil. Dari kapal terbang di awal permainan, anda boleh pilih untuk turun di kawasan mana.

Sebagai contoh, jika anda turun berdekatan naga, ia akan mengurniakan kelengkapan lebih hebat jika dibunuh. Bagi memudahkan untuk menjejak lokasi pemain lain, anda boleh gunakan ‚scout‘ untuk mengetahui lokasi mereka.

Bagi yang ingin hidup lebih lama, anda boleh cuba mengatur strategi menggunakan posyen nyawa dan posyen berkumpulan ataupun skrol yang membolehkan karakter anda bertukar lokasi.

Kumpul emas dan berlian

Kalau anda memenangi lebih banyak perlawanan, maka lebih banyak emas anda terima. Ia boleh digunakan untuk mendapatkan senjata di stor. Ini bermakna senjata ini tak dapat dijumpai dalam perlawanan sehingga anda mendapatkannya dulu.

Berlian pula boleh digunakan untuk mendapatkan ‚rune‘, satu kaedah yang boleh menambahkan kekuatan karakter selama-lamanya. Ia bukanlah konsep ‚pay2win‘ kerana ‚rune‘ ini boleh didapatkan dengan menyelesaikan tugasan.

Anda juga boleh membeli kostum menggunakan tiket ataupun senjata jika anda tak ingin menunggu. Ini membolehkan anda menggayakan karakter mengikut cita rasa masing-masing.

Secara keseluruhannya, Survival Heroes menawarkan beberapa mod menarik, sistem perlawanan unik dan masih mengekalkan elemen Battle Royale yang digemari ramai. Anda boleh muat turun permainan ini di Android dan iOS.

Permainan berkonsepkan Battle Royale mungkin sudah banyak diperkenalkan. Selain PlayerUnknown‘s Battlegrounds dan Fortnite, nampaknya pembangun lain cuba untuk berlumba antara satu sama lain bagi mempopularkan konsep ini dalam kalangan peminatnya.

Contohnya, Treyarch dan Activision cuba mengikuti jejak sama dengan memperkenalkan mod Battle Royale dalam permainan Call of Duty: Black Ops 4. Ia judul pertama dalam francais itu yang memperkenalkan mod ini di PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Dalam satu ‚trailer‘ yang ditayangkan di YouTube, mod baru ini memperkenalkan pertarungan sengit antara pemain dan memasukkan elemen seperti kenderaan, bot dan helikopter. Ini menunjukkan mod Battle Royale di COD: Black Ops 4 akan menampilkan perlawanan di udara dengan letupan.

Activision dalam satu kenyataan berkata, Black­out (nama mod ini) akan memperkenalkan karakter diminati peminat, senjata dan peta yang sangat besar termasuk kenderaan di laut, darat dan udara.

Pemain juga berpeluang mencuba Blackout dalam masa terdekat. Beta tertutup untuk mod ini akan dimulakan pada 14 September di Xbox One dan PC. Pengguna PS4 akan mendapat lebih awal iaitu pada 10 September. Mereka hanya perlu membuat pratempah tapi pengguna di PC boleh mencuba tanpa perlu membeli permainan itu terlebih dulu.

Treyarch juga mengumumkan info baru iaitu jumlah pemain akan berada dalam Blackout. Ia akan memuatkan sehingga 80 pemain dalam satu perlawanan. Ia kurang sebanyak 20 pemain daripada Fortnite dan PUBG tapi ia dilakukan untuk mengutamakan kualiti gaya permainan berbanding kuantiti.

Call of Duty: Black Ops 4 akan dilancarkan di PS4, Xbox One dan PC pada 12 Oktober. Permainan ini akan turut menyertakan mod baru dan sama iaitu multi-pemain dan zombi. Ia juga akan memaparkan senjata baru yang boleh didapatkan apabila anda menyelesaikan tugasan.

Berlainan berbanding keluaran terdahulu, Black Ops 4 akan memperkenalkan misi solo yang memfokuskan pada karakter berlainan dan bukannya misi ‚single-player‘ seperti dulu.

Bukan lagi satu kejutan, genre Battle Royale kini membanjiri pasaran telefon pintar yang boleh diakses semua generasi terutama orang muda.

Ia bermula apabila permainan video Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) mencetuskan fenomena tahun lalu dengan memperkenalkan satu mod Battle Royale apabila pemain ditempatkan di satu pulau dan perlu bertarung dengan 99 lagi pemain yang memiliki senjata.

Bagi anda yang tidak mempunyai PC di rumah dan belum ada wang yang cukup untuk membeli PUBG, boleh cuba permainan mudah alih di bawah ini. Menariknya, ia boleh dimainkan di mana-mana tanpa sambungan wayar. Hanya di telefon pintar anda!

1. Rules of Survival

Semua orang tahu ‘game’ ini sememangnya popular di pasaran peranti pintar sekarang. Visualnya sangat menarik ditambah lagi dengan cara permainan. Ia hampir sama dengan PUBG dan terbuka untuk solo, duo serta mod berpasukan.

Rules of Survival adalah percuma dan transaksi mikro hanya menawarkan pilihan kosmetik serta pek ‘booster’ yang tidak mengubah cara bermain. Pilihan senjata yang banyak dan kenderaan untuk memandu adalah satu bonus bagi pemain.

2. Grand Battle Royale

Bagi anda yang meminati visual ‘game’ seakan-akan Minecraft, inilah permainan mudah alih sesuai untuk anda. Bayangkan grafik di Battle Royale dan Minecraft. Permulaannya juga agak mencabar apabila anda bukan lagi diturunkan daripada kapal terbang tapi berada di sebelah musuh.

Apabila penggera dibunyikan, cari senjata bersama musuh dan elak dibunuh. Kedengaran agak ‘brutal’? Ya, itulah konsep yang diketengahkan Grand Battle Royale. Anda juga boleh mengubah mod kepada ‘first-person’ untuk sasaran lebih tepat.

Visual yang agak ‘kartun’ tampak menarik di mata dan dicipta untuk mengurangkan elemen yang kejam dalam permainan.

3. Free Fire – Battleground

Permainan mudah alih keluaran Garena ini bukan saja mempunyai grafik yang mengagumkan berbanding lain tapi juga lancar dan tidak mengorbankan beberapa elemen utama seperti mod berpasukan dan kenderaan.

Bagaimanapun, petanya agak besar dan ia tidak begitu sempurna kerana jumlah pemain lebih kecil berbanding ‘game’ lain jadi anda akan rasa lebih menyendiri sehingga zon selamat dikecilkan. Tapi sudah tentunya apabila anda terserempak dengan kawan dalam permainan, mereka akan membunuh anda, jadi perlu sentiasa berhati-hati.

4. Pixel Gun 3D

Permainan ini sudah lama dikeluarkan berbanding yang lain dan ia antara yang paling banyak ciri. Tema Minecraft digunakan bagi membawa pemain dalam perspektif ‘first-person’ ke dunia dengan pelbagai aktiviti.

Sebagai contoh, anda boleh membina bangunan, mencipta senjata dan terdapat ‘loot chest’ untuk pemain. Komunitinya juga sudah berpengalaman jadi tidak hairanlah jika musuh anda begitu hebat mengawal perlawanan.

Agak mustahil untuk anda merasa bosan kerana terlalu banyak perkara boleh dibuat. Sebagai versi yang dipindahkan dari PC, ia menyokong 10 pemain dalam satu perlawanan di 35 peta berbeza yang penuh dengan senjata, barangan dan pelbagai mod untuk keseronokan bersama.

5. Fortnite Battle Royale Versi Peranti Pintar

Tak lama lagi, ‘game’ kegemaran ramai, Fornite Battle Royale akan hadir ke peranti pintar. Walaupun maklumat mengenainya tak banyak didedahkan tapi anda boleh harapkan corak permainan serupa dan tentunya sokongan ‘crossplay’!

Fungsi ini membolehkan anda bermain dengan rakan lain di platform berbeza. Sebagai contoh, anda bermain di peranti pintar dan bekerjasama dengan pemain lain di konsol. Buat sementara ini, pendaftaran dibuka untuk pengguna iOS saja. Pengguna Android perlu menunggu bagi permainan itu hadir tidak lama lagi.